10 November, 2005

Kisah Raja, Bendahara dan Tukang Kayuh Sampan


Nota: Kisah ini hanya rekaan semata, tiada berkenaan dengan yang hidup atau yang mati.

Pada suatu hari seorang raja telah keluar bersama bendahara dan tukang sampan membuat lawatan ke luar bandar menaiki sampan. Sementara tukang sampan mengayuh sampannya, raja dan bendahara hanya asyik berbual-bual tentang hal ehwal semasa. Dalam hati pengayuh sampan itu berkata,

“Aku penat-penat mengayuh, mereka bersenang lenang sahaja. Aku seorang yang kena buat semua kerja. Tapi gaji aku kecil, mereka kaya raya dengan berbagai-bagai kemudahan, tak buat apa-apa pun”

Si pengayuh sampan merasa tidak puas hati. Perasaannya dapat dikesan oleh raja yang bijaksana itu.
Pada keesokan harinya, raja itu telah memanggil si pengayuh sampan menghadap. Baginda lalu bertitah.

“Tuan Hamba, Beta amat memerlukan pertolongan Tuan Hamba” kata raja.

“Apa dia, Tuanku?” Tanya Si-pengayuh.

“Beta dengar ada seekor kucing telah beranak di hujung kampung ini. Beta amat memerlukan bantuan Tuan Hamba untuk melihat benar atau tidak keadaannya.”

“Baiklah”, jawab Si-pengayuh. ”Ini kerja senang sahaja” berkata pula dalam hatinya lalu pergi ke tempat yang dimaksudkan. Seketika kemudian, dia pulang menemui Raja lalu berkata,

“Benar Tuanku, ada seekor kucing telah beranak di hujung kampung ini”.

“Berapa ekor semua anaknya?” tanya baginda.

“Patik kurang pasti, Tuanku, nanti Patik tengok”, lalu dia terus pergi semula melihat. Kemudian kembali semula selepas beberapa jam.

“Ada tiga ekor tuanku”, kata Si-pengayuh.

“Apa warnanya?” tanya raja itu lagi. Dengan tidak berapa pasti, tukang sampan itu meminta izin untuk pergi lagi melihat.

“Ada yang kuning, dan ada yang tompok-tompok”, terang Si-pengayuh yang sudah termengah-mengah. Hari pun sudah petang.

“Baiklah, terima kasih”.

Baginda kemudiannya memanggil bendahara pula lalu terus berkata, “Tuan Hamba, Beta dengar ada seekor kucing telah beranak di hujung kampung ini. Beta memerlukan bantuan Tuan Hamba untuk melihat keadaannya.”

“Baiklah Tuanku”, jawab beliau dan terus berlalu menuju ke tempat yang dimaksudkan.
Seketika kemudian beliau kembali.

“Benar Tuanku, ada seekor kucing telah beranak tiga, yang seekor berwarna kuning dan dua lagi bertompok-tompok.”

“Kalau begitu, beta mahu supaya kucing itu dipelihara baik-baik”, titah Baginda.

“Sudah diuruskan Tuanku, hamba sudah pun menguruskan beberapa orang untuk membuat tempat berteduh dan menyediakan bekalan makanan untuknya”.

Begitulah saudara ku sekalian, satu kisah ringkas yang dapat menjadi renungan supaya hidup ini tidak hanya berfikiran selaras tukang sampan tetapi hendaklah lebih beranalisis dan proaktif seperti pemikiran bendahara yang bukan sahaja dapat memenuhi keadaan semasa tetapi juga menggunakan akal fikiran dan mempunyai visi akan kehendak masa depan.
Yang mana satu kita? Di dalam situasi kerja kita harus tahu apa yang mahu dicapai oleh ketua kita dan memerlukan ilmu untuk mencapai target yang dimahukan dalam masa yang singkat dan tidak perlu memakan masa yang banyak dengan kerja yang berulang-ulang. Spesifikasi harus kita kenal pasti dari awal. Sekali lagi peranan ilmu seperti yang disarankan oleh Islam itu penting, bukan tunggu untuk disuruh sahaja.

Kalau dah begitu barulah boleh nak minta ganjaran yang selaras...
Wallahualam...

No comments: