28 November, 2005

Borak-borak Kambing Golek

Kita jumpa lagi buat kali ini, salam dari AnakMinah,

Kita masih lagi dalam suasana kenduri-kendara dan rumah terbuka walaupun hari raya dah nak ke penghujung ini. Masih ada lagi jamuan sana sini. Bila cakap pasal jamuan ini, terliur dibuat nya bila teringat tempat-tempat yang ada menyediakan kambing golek!... berasap, lembut, juicy, cicah gravy gitu... emm.. Ada yang sanggup beratur panjang untuk tunggu kambing di potong... perghh! Ya lah, daging kambing ini pun salah satu makanan kegemaran Rasulullaah..

Tapi AnakMinah terfikir juga dalam ramai-ramai ini ada yang boleh makan itu, tak boleh makan ini; ada yang suka makan itu, tak suka makan ini; ada yang reti makan itu, tak reti makan ini.. Macam-macam ada!

Seperti ada ahli keluarga AnakMinah tak boleh makan kambing macam ini, malah semua haiwan yang berkaki empat tak boleh masuk.. Sebabnya tak tahu pula..Yang jelas bukan sebab tak mahu, tapi body yang reject. Mungkin ada pembaca dekat sini yang dalam bahagian bio-tech / medic boleh cuba buat kajian dan menjelaskan. Yang lain-lain pula pasal tak suka dan tak reti.. Ehh.. AnakMinah pun tak reti juga nak menerangkan. Ada yang puas diberi dan disuruh try, tak mahu juga dia.

Walaubagaimana pun AnakMinah rasa, selain dari yang tak boleh makan itu, semuanya from the mind. Kalau rasa adventurous sikit, cuba ajalah anugerah Allah dalam dunia ini asalkan mengikut panduan-panduan hukum yang betul. Tepuk dada tanya selera...

Sila lawati renongan.blogspot.com untuk article sebagai panduan bab halal-haram makan ini..

Emmm.. bila lagi nak makan kambing golek ini..

21 November, 2005

MUSIM BERMUSIM!


Cuba teka musim apa ini?
Tok tok harimau, musim apa ini tok harimau!
(Ini lagu mainan kanak-kanak masa dulu, kalau nak tahu…tapi rasanya lirik tu tanya pukul berapa, bukan musim apa, he..he)


Berbaju melayu segak berseri,
Sekurang-kurang sepasang baju baru dibeli,
Kanak-kanak rajin bersalam, habuan diberi,
Kunjung-mengunjung berseri-seri.

Musim Raya!!

Tok tok harimau, musim apa ini tok harimau!

Warna kegemaran kebanyakan putih,
Bacaan dan perbuatan perlu berlatih,
Kursus perdana kemuncak acara sebelum pergi,
Ketanah suci menyahut seruan Ilahi.

Musim Pergi Haji!!

Tok tok harimau, musim apa ini tok harimau!

Budak-budak tak sekolah duduk dirumah,
Tak buka buku tak kena marah,
Ada yang bangun lambat pun tak apa,
Bermain sakan entah sampai pukul berapa.

Musim Cuti Sekolah!!

Tok tok harimau, musim ini apa tok harimau!

Syarat utama ada pasangan,
Sempena cuti majlis diadakan,
Jemputan ramai datang dan makan,
Untuk pasangan dirai dan didoakan

Musim Kahwin!!

Tok tok harimau, musim ini apa tok harimau!

Bukan kita tapi ‘depa’ yang raya,
‘Ikan dilaut asam didarat’ jadi temanya,
Joe rupanya Suparjo, Roger rupanya Raju?
Inilah agaknya dikata Malaysia dah maju?

Musim Depa Raya!!

Tok tok harimau, musim apa ini tok harimau!

Hujan lebat mencurah-curah,
Air naik sampai kena pindah,
Di Terengganu dan Kelantan tempat terdedah,
Nasib tak baik membawa padah,

Musim banjir di kawasan timur!!

Tok tok harimau, musim apa ini tok harimau!

Umno kata PAS yang salah,
PAS mula pertahan madah,
Sampai nama Mawi pun dibawa ketengah,
Tunggu sahaja keputusan bila keluar sudah

Musim pilihanraya kecil Kelantan!!

Tok tok harimau musim apa ini tok harimau!

Bangun pagi menggosok mata,
Merah dan berat tak senang dibuatnya,
Gatal nak garu hingga tak terkata,
Cahaya terang tak tahan rasanya.

Musim sakit mata!! Berhati-hati….


Salam, Semuga terhibur dengan ilham terbitan waktu sakit gigi...

16 November, 2005

Bila Mek berjumpa Mak Minah

Celoteh Minah Zaiton Posted by Picasa


Mek Zaiton: Sehak ko?
Mak Minah : Kabau baik...tapi ala..sesehat orghang dah senje..
Mek Zaiton: Lamo tok jupo deh!
Mak Minah : ye ler, kite duduk jejauh..kalau orghang tak ngantau, tak der ler kiter..

Bla.. bla.. faham ke? Jangan marah. Orang Kelantan bertemu Melaka lah katakan..

14 November, 2005

Seloka Musim Raya AnakMinah

Pagi-pagi menganyam ketupat,
Ketupat dari daun kelapa,
Nak balik kampung tahun ni tak sempat,
Sebelum raya pun kira tak pa

Anak cik Minah sebelas orang,
Lima lelaki enam perempuan,
Semua balik cuma seorang,
Penuh rumah jadi tumpuan

Hari raya hari Khamis,
Selepas berpuasa tanda menang,
Makan ketupat dengan sambal tumis,
Alahai, kempunan tidak, cuma terkenang

Semak samun kena tebas,
Supaya nampak seri kawasannya,
Kasut raya habis kena kebas,
Basikal pun sempat diambilnya!

Pagi raya dah boleh makan,
Pulun habis jangan main-main,
Separuh orang beraya sakan,
Aik, ada juga yang nak naik pelamin!

Majlis MakAnjang waktu petang,
Masjid Tanah itu tempatnya,
Mahap le tak dapat datang,
Clash dengan berbagai eventnya

Dalam gelap bersuluh-suluh,
Semuga selamat dalam perjalanan,
Kami memohon jari sepuluh,
Semuga silatulrahim tetap berkekalan


Peace!!!

10 November, 2005

Tunggu bank nak ambil duit raya

baby Posted by Picasa


Alamak... bila bank nak buka ini...

Kisah Raja, Bendahara dan Tukang Kayuh Sampan


Nota: Kisah ini hanya rekaan semata, tiada berkenaan dengan yang hidup atau yang mati.

Pada suatu hari seorang raja telah keluar bersama bendahara dan tukang sampan membuat lawatan ke luar bandar menaiki sampan. Sementara tukang sampan mengayuh sampannya, raja dan bendahara hanya asyik berbual-bual tentang hal ehwal semasa. Dalam hati pengayuh sampan itu berkata,

“Aku penat-penat mengayuh, mereka bersenang lenang sahaja. Aku seorang yang kena buat semua kerja. Tapi gaji aku kecil, mereka kaya raya dengan berbagai-bagai kemudahan, tak buat apa-apa pun”

Si pengayuh sampan merasa tidak puas hati. Perasaannya dapat dikesan oleh raja yang bijaksana itu.
Pada keesokan harinya, raja itu telah memanggil si pengayuh sampan menghadap. Baginda lalu bertitah.

“Tuan Hamba, Beta amat memerlukan pertolongan Tuan Hamba” kata raja.

“Apa dia, Tuanku?” Tanya Si-pengayuh.

“Beta dengar ada seekor kucing telah beranak di hujung kampung ini. Beta amat memerlukan bantuan Tuan Hamba untuk melihat benar atau tidak keadaannya.”

“Baiklah”, jawab Si-pengayuh. ”Ini kerja senang sahaja” berkata pula dalam hatinya lalu pergi ke tempat yang dimaksudkan. Seketika kemudian, dia pulang menemui Raja lalu berkata,

“Benar Tuanku, ada seekor kucing telah beranak di hujung kampung ini”.

“Berapa ekor semua anaknya?” tanya baginda.

“Patik kurang pasti, Tuanku, nanti Patik tengok”, lalu dia terus pergi semula melihat. Kemudian kembali semula selepas beberapa jam.

“Ada tiga ekor tuanku”, kata Si-pengayuh.

“Apa warnanya?” tanya raja itu lagi. Dengan tidak berapa pasti, tukang sampan itu meminta izin untuk pergi lagi melihat.

“Ada yang kuning, dan ada yang tompok-tompok”, terang Si-pengayuh yang sudah termengah-mengah. Hari pun sudah petang.

“Baiklah, terima kasih”.

Baginda kemudiannya memanggil bendahara pula lalu terus berkata, “Tuan Hamba, Beta dengar ada seekor kucing telah beranak di hujung kampung ini. Beta memerlukan bantuan Tuan Hamba untuk melihat keadaannya.”

“Baiklah Tuanku”, jawab beliau dan terus berlalu menuju ke tempat yang dimaksudkan.
Seketika kemudian beliau kembali.

“Benar Tuanku, ada seekor kucing telah beranak tiga, yang seekor berwarna kuning dan dua lagi bertompok-tompok.”

“Kalau begitu, beta mahu supaya kucing itu dipelihara baik-baik”, titah Baginda.

“Sudah diuruskan Tuanku, hamba sudah pun menguruskan beberapa orang untuk membuat tempat berteduh dan menyediakan bekalan makanan untuknya”.

Begitulah saudara ku sekalian, satu kisah ringkas yang dapat menjadi renungan supaya hidup ini tidak hanya berfikiran selaras tukang sampan tetapi hendaklah lebih beranalisis dan proaktif seperti pemikiran bendahara yang bukan sahaja dapat memenuhi keadaan semasa tetapi juga menggunakan akal fikiran dan mempunyai visi akan kehendak masa depan.
Yang mana satu kita? Di dalam situasi kerja kita harus tahu apa yang mahu dicapai oleh ketua kita dan memerlukan ilmu untuk mencapai target yang dimahukan dalam masa yang singkat dan tidak perlu memakan masa yang banyak dengan kerja yang berulang-ulang. Spesifikasi harus kita kenal pasti dari awal. Sekali lagi peranan ilmu seperti yang disarankan oleh Islam itu penting, bukan tunggu untuk disuruh sahaja.

Kalau dah begitu barulah boleh nak minta ganjaran yang selaras...
Wallahualam...