TAHUN 2003 mencetuskan evolusi dalam dunia penyiaran Malaysia apabila program-program realiti TV mula mengambil tempat di kalangan khalayak.
Pertandingan nyanyian berkonsep lama menerima perubahan paling ketara apabila keputusan bukan terletak di tangan juri sepenuhnya. Sebaliknya, kuasa penonton mengatasi segala-galanya dengan undian melalui sistem khidmat pesanan ringkas (SMS).
Akademi Fantasia (AF) adalah program realiti pertama berbentuk hiburan yang mengundang polemik di kalangan masyarakat dan ahli akademik hingga ke hari ini.
Isunya bukan pertandingan nyanyian tetapi keterbukaan peserta bergaul mesra antara satu sama lain dan mereka pula ditempatkan dalam sebuah banglo. Kemudiannya, aksi-aksi berpelukan antara lelaki dan perempuan dipertontonkan dengan jelas di hadapan khalayak. Unsur-unsur emosi juga diterapkan secara terbuka.
Amat mendukacitakan, rata-rata ‘pelajar’ AF adalah remaja Melayu beragama Islam yang sepatutnya tahu bahawa dunia fantasi tidak menjanjikan kebenaran.
Program realiti begini semakin bercambah. Muncul beberapa program seperti Audition yang disiarkan di saluran ntv7, Malaysian Idol (8TV), Mentor (TV3) dan terbaru, One In A Million (8TV). Semuanya mempunyai matlamat yang sama – mencari pesona bintang dalam dunia nyanyian dan lakonan.
Tidak kurang juga ada program realiti dengan sedikit kelainan seperti Malaysia’s Most Beautiful (8TV) untuk mencari wanita tercantik di Malaysia. Paling kontroversi ialah program Mencari Cinta (TV3) yang dikatakan bertentangan dengan adat dan budaya Melayu. Agak unik dan berbeza, muncul MyTeam (TV3) yang tujuannya mencari bakat-bakat baru dalam dunia bola sepak.
Memandangkan program realiti mudah diterima, beberapa rancangan televisyen turut mengambil langkah serupa. Antaranya, program berbentuk kebajikan dan kemasyarakatan seperti Bersamamu (TV3), Ku Pohon (Astro) dan Finding Angle (ntv7). Dalam kekalutan dan di tengah-tengah kebanjiran program realiti berunsur hiburan, Akademi al-Quran (AQ) yang diterbitkan TV9 dilihat sebagai satu langkah proaktif untuk mencari qari dan qariah terbaik dari seluruh negara.
Pensyarah Jabatan Dakwah dan Kepimpinan, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Madya Dr. Zulkiple Abd. Ghani memberikan pandangan beliau berhubung polemik yang timbul ekoran kemunculan semakin banyak program realiti berbentuk hiburan dan impaknya kepada masyarakat.
Menurutnya, program realiti yang kebanyakannya diklon dari Barat perlu dilihat daripada pelbagai sudut, termasuklah nilai baik dan buruk. Perkara utama yang mengundang rasa kurang selesa ialah apabila unsur-unsur emosi diterapkan dan diperlihatkan secara jelas kepada penonton. Akhirnya, ia melahirkan perasaan taksub terhadap peserta yang mereka minati.
Bagaimanapun, Zulkiple berpendapat, unsur emosi adalah antara ‘taktik’ yang digunakan untuk mengaut keuntungan oleh pihak-pihak terbabit dalam program tersebut.
“Program seperti AF berupaya memanipulasi pemikiran remaja yang sukakan penerokaan kepada suasana baru dan berseronok tanpa memikirkan implikasi yang cukup besar iaitu membabitkan kewangan. Islam memandang persoalan memanipulasi penonton sebagai sesuatu yang melibatkan soal akhlak. Ini belum lagi termasuk pengisian program. Selain adat, ia berkaitan dengan soal pegangan agama,” ujar beliau yang memfokus kepada kajian komunikasi dan penyiaran.
Tambah Zulkiple, berhibur bagi orang Melayu adalah perkara yang wujud sejak dulu lagi. Contohnya, orang Melayu bermain wau, gasing dan wayang kulit. Namun, kesemua ini berubah kepada bentuk baru apabila dipengaruhi oleh perkembangan teknologi dan pembentukan budaya. Dengan itu, soal kehidupan dianggap tidak penting dan diliputi angan-angan kosong dan fantasi.
Kejayaan bagi penerbit program realiti TV pula adalah apabila mereka berupaya mencatatkan rating tertinggi untuk program tersebut.
Bagi tujuan mengawal program TV, kerajaan memperkenalkan pada 1980-an dan 1990-an kod etika pengiklanan dan persembahan. Namun, selepas kemunculan pengendali tv berbayar dan berlakunya perubahan dalam teknologi maklumat, aspek pengawalan itu dilupakan.
Bahasa dan budaya
“Program realiti bukan sahaja melibatkan soal bahasa tetapi soal budaya yang menukar nilai-nilai kehidupan. Kita bimbang apabila khalayak menganggap perkara yang tidak benar sebagai realiti. Untuk membetulkan keadaan bukanlah satu kerja mudah kerana ia memerlukan masa yang panjang,” ujar beliau.
Walaupun ramai yang tidak bersetuju dengan kajian Reader’s Digest yang merujuk Kuala Lumpur sebagai bandar raya ketiga paling biadap di dunia, terdapat beberapa fakta yang tidak boleh ditolak termasuklah implikasi daripada media. Misalnya, tindakan mengucapkan terima kasih, membawa kereta dengan berhemah dan menjaga kebersihan tandas adalah antara budaya Barat yang wajar dicontohi kerana nilai-nilai tersebut masih lagi kurang di kalangan penduduk kota metropolitan di Malaysia.
“Kita perlu mengakui bahawa penerbitan dan penyiaran program realiti sedikit sebanyak membentuk peribadi individu. Contoh paling mudah ialah orang-orang muda yang sememangnya mempunyai sikap agresif.
“Remaja kalau terlalu banyak disumbat dengan budaya program realiti sama ada dari dalam atau luar negara akan menerima kesan langsung berdasarkan kepada ‘Teori Peluru Ajaib’. Dalam konteks media, AF memberi banyak implikasi kepada remaja secara tidak langsung dan tanpa kita sedari,” kata Zulkiple.
Program realiti hiburan boleh menjejaskan interaksi dalam keluarga dan masyarakat kerana kebiasaannya ia disiarkan pada waktu utama sedangkan hubungan keluarga semakin terhad. Sebahagian masa dan sumber keluarga digunakan untuk membicarakan perkara yang remeh dan kurang memberi tumpuan kepada aspek penting dalam kehidupan.
“Saya tidak mengatakan bahawa semua yang ditawarkan oleh stesen tv berbayar adalah negatif kerana masih ada rancangan dan program yang berorientasikan maklumat. Antaranya National Geographic yang memaparkan betapa indahnya alam ciptaan Tuhan. Isunya ialah apabila kita memilih untuk membayar program yang tidak membina hanya kerana obses terhadap unsur-unsur hiburan,” kata Zulkiple.
No comments:
Post a Comment